Friday, June 5, 2009

Main game

Dulu aku kaki main game dan pernah menjadi game reviewer Berita Harian. Ruangan game review atau Simulasi (nama Simulasi ni aku yang suggest) keluar pada sisipan Sabtu ketika zaman paper BH ni bersaiz broadsheet.skarang dah takde.yang ada sekarang adalah ruangan Teknologi pada bahagian centrespread Ekonomi setiap hari Khamis. Lama tak buat story pasal game ni, hah minggu ni ada can. Bos aku suruh.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Ekonomi/20090604104208/Article/

Ekspo E3 pamer kehebatan konsol permainan video

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
Platform penting pembangun permainan video peraga keunikan, kecanggihan teknologi

TEKNOLOGI permainan video kini pesat berkembang dengan pakar pembangun dan penerbit berlumba-lumba dan bersaing sengit menghasil dan mengeluarkan revolusi permainan baru bagi memikat peminat.

Gergasi permainan video seperti Electronic Arts, Microsoft, Ubisoft dan Nintendo sentiasa muncul dengan idea baru yang menjadikan permainan video kini bukan saja aktiviti santai, malah sudah ada golongan profesional yang menjadikannya mata pencarian.

Menyedari pasaran luas bagi industri permainan video, persidangan Ekspo Hiburan Elektronik Antarabangsa (E3) yang bermula sejak 1995 menjadi platform penting kepada pembangun permainan video memperagakan teknologi terkini masing-masing.

Tahun ini, E3 diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan seperti penganjuran sebelumnya, semua gergasi permainan video global terbabit dalam ekspo dan persidangan berkenaan bagi mempamerkan produk keluaran terbaru mereka.

Microsoft, menggunakan E3 tahun ini untuk memperkenalkan prototaip permainan terbarunya dengan kod nama “Project Natal”, satu sistem yang menggabungkan kamera dan suara dengan perisian pengenalan wajah untuk mengenal pasti pemain dan pergerakan mereka.

Teknologi berkenaan, yang masih dibangunkan secara rahsia oleh Microsoft membolehkan pengguna bermain permainan video menggunakan pergerakan badan mereka sendiri untuk menggerakkan watak dalam permainan daripada menggunakan alat kawalan tangan.

Project Natal membolehkan pengguna bermain permainan pemanduan dengan hanya menggerakkan tangan mereka seolah-olah sedang memusing stering kereta.

Sementara itu, permainan berwatak seperti tinju, papan luncur, bola sepak dan permainan berbentuk sukan lain meniru pergerakan badan pemainnya.

Sistem berkenaan mengimbas wajah dan suara untuk mengenal pasti siapa sebenarnya sedang memainkan permainan video berkenaan, seperti yang ditunjukkan dalam demonstrasi di ekspo berkenaan.

Konsol Xbox 360 yang dilengkapi dengan Project Natal mampu memberi tindak balas kepada arahan yang dinyatakan menerusi percakapan seperti memainkan filem cereka atau sambungan dalam talian untuk perbualan video bersama pemain lain.

Microsoft turut mengembalikan nostalgia peminat kumpulan pop terkemuka Britain, The Beatles dengan melancarkan premis ‘The Beatles: Rock Band’ yang menjanjikan keseronokan mengikuti siri jelajah kumpulan berkenaan ke serata dunia.

Permainan video ini memuatkan 10 lagu kugiran itu termasuk “I Saw Her Standing There,” “I Want To Hold Your Hand,” “Day Tripper dan “Back In The USSR.”

Seperti francais Rock Band terdahulu, permainan ini membolehkan pemainnya mengguna alat kawalan menyerupai gitar atau set dram sebenar untuk mendapatkan markah dengan menekan nota muzik yang keluar pada skrin monitor dengan butang yang terdapat pada alat muzik terbabit.

Untuk menjadikannya lebih menarik, permainan itu turut memuatkan jalan cerita yang membolehkan pemainnya menjadi ahli kugiran berkenaan dengan bermula pada awal kerjaya mereka mengadakan persembahan di The Cavern Club di Liverpool, England.

Sementara itu, Nintendo, dengan kerjasama Ubisoft memperkenalkan rejim permainan kecergasan yang menepis tanggapan umum bahawa permainan video bukanlah satu aktiviti menyihatkan, selepas kejayaan permainan Wii Fit.

Permainan video ‘Your Shape’ direka untuk konsol Nintendo Wii menggunakan kamera bagi mengimbas badan pemainnya dan ‘menampalnya’ ke dalam skrin, yang mana seorang jurulatih kecergasan maya membimbing mereka melalui rutin kecergasan.

Ubisoft bekerjasama dengan Nintendo untuk membangunkan sebuah kamera bagi mengimbas bentuk badan pemain ke dalam konsol Wii bagi membolehkan pemain menetapkan sasaran kecergasan mereka dan perkembangan seterusnya.

Kamera itu turut mengesan pergerakan pemain supaya seorang jurulatih dalam permainan itu boleh memberi nasihat dan maklum balas pada masa sebenar, menurut pereka bentuk permainan berkenaan.

Pada masa sama, satu lagi gergasi permainan video, Sony memperagakan alat kawalan video dengan teknologi hampir serupa dengan pesaingnya, mencetuskan arah aliran baru yang menjauhkan pemain daripada bebutang pada alat permainan yang sukar dikendalikan.

Kamera pada konsol itu mengesan pergerakan pemain dan perisian menterjemahkan pergerakannya kepada watak dalam skrin, sama ada sedang menghayun pedang, raket, kayu besbol atau mengacu senapang.

Pada ekspo itu, Sony turut memperkenalkan konsol permainan video generasi seterusnya PSP Go sebagai saingan terus kepada peranti DSi yang baru diperkenalkan oleh Nintendo.

Francais permainan video terkenal termasuk “Gran Turismo,” “Metal Gear Solid,” dan “Resident Evil” adalah antara permainan baru yang dapat disesuaikan dengan peranti PSP Go itu.




TEKNOLOGI Natal's Motion daripada X-Box Project Natal membolehkan pemain menggerakkan simulasi karekter permainan video menggunakan pergerakan tubuh

No comments: